Sinergi Perdana bukan syarikat yang ditubuh untuk menggabungkan entiti-entiti itu tetapi sebenarnya menyelaras dan mengisi kekosongan yang ada untuk memantapkan lagi ketiga-tiga mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Zaid Abdul Jalil kepada wartawan Utusan NORLAILI ABDUL RAHMAN. Dalam temu bual itu, Mohd. Zaid menjelaskan
peranan dan rancangan masa depan Sinergi Perdana seperti mana yang dimandatkan kepada beliau.
UTUSAN: Bolehkah saudara jelaskan apa sebenarnya peranan Sinergi Perdana kerana ramai yang masih keliru?
MOHD ZAID: Saya seringkali menekankan kepada ahli lembaga pengarah dan juga pemegang saham ketiga-tiga entiti berkaitan, kami (Sinergi Perdana) bukan untuk bersaing dengan mereka tetapi sebaliknya melengkapi fungsi dan peranan masing-masing.
Tidak masuk akal jika pemegang saham (Felda, Felcra dan RISDA) meletakkan duit dalam Sinergi Perdana tetapi bersaing sesama sendiri. Kami hanya mahu mencapai objektif yang digariskan kerajaan.
Contohnya, Felda akan tetap beroperasi seperti mana adanya tetapi mereka berpeluang menerima pulangan (dividen) daripada aktiviti yang dijalankan oleh anak-anak syarikat Sinergi Perdana (melalui kegiatan baharu), sekali gus bermaksud Felda mendapat pendapatan tambahan berbanding sebelumnya. Saya harus katakan kekuatan Sinergi Perdana bukan disebabkan kami sendiri tetapi kerana kami adalah gabungan tiga entiti ternama ini.
Jadi apakah objektif Sinergi Perdana?
Objektif kami adalah memberikan nilai tambah kepada pemegang saham utama, Felda, Felcra dan RISDA dan juga manfaat kepada golongan sasar seperti peneroka Felda, peserta Felcra, pekebun-pekebun kecil Risda dan penduduk luar bandar.
Ada yang bertanya kepada saya, apakah Sinergi Perdana ditubuhkan hanya untuk mengaut keuntungan? Saya jawab, sebagai sebuah syarikat, Sinergi Perdana juga perlu membuat keuntungan kerana pulangan kepada pemegang saham kami (kerajaan) perlu difikirkan tetapi apa yang penting manfaat kepada golongan sasar. Sinergi Perdana adalah agensi kerajaan, kalau bukan kami, siapa lagi yang hendak usahakan supaya golongan sasar tidak ketinggalan dalam arus ekonomi.
Ketiga-tiga entiti berkenaan telahpun lama beroperasi dan berkembang pesat dalam dan luar negara, bagaimana penggabungan operasi dan lain-lainnya dilakukan?
Inilah yang paling tricky sebab ketiga-tiga agensi ini sudah mempunyai perniagaan, kemudahan dan kepakaran masing-masing. Benar Felda ada kekuatan sendiri tetapi ia hanya untuk kegunaan dalam kumpulan sahaja, jadi apabila Sinergi Perdana ditubuhkan, kami selaraskan mereka yang mempunyai kepakaran ataupun teknologi tertentu boleh berkongsi dengan dua rakan mereka yang lain. Malah, pada masa depan, kita boleh melihat pula kerjasama strategik dengan agensi-agensi lain ataupun syarikat kerajaan yang lain.
Bukankah tanpa Sinergi Perdana pun, ketiga-tiga entiti ini masih boleh bekerjasama?
Perkara itu benar, malah sebelum ini pun ada jawatankuasa dan sebagainya ditubuhkan untuk menjalinkan kerjasama di antara mereka tetapi ia hanya satu pakatan yang longgar, jadi Perdana Menteri mahu pakatan ini dilakukan secara rasmi, (kerana) pada masa ini ketiga-tiga agensi ini melabur duit, tenaga dan sumber hanya untuk mencapai matlamat yang sama.
Bagaimana Sinergi Perdana menjalankan operasinya?
Sinergi Perdana akan bertindak sebagai syarikat pelaburan dengan pemegang-pemegang saham adalah Felda, Felcra dan Risda. Jadi kalau dalam carta, kami akan berada di atas dan mereka pula di bawah. Setiap aktiviti yang kami rancang, kami akan tubuhkan sebuah syarikat khas (SPV) yang dijadikan anak syarikat Sinergi Perdana. Projek pertama kami adalah perniagaan baja. Setiap anak-anak syarikat yang ditubuhkan akan menjalankan kegiatan masing-masing dan pendapatannya disalurkan kepada pemegang-pemegang saham dalam bentuk dividen. Sinergi Perdana juga akan menyediakan perkhidmatan sokongan kepada anak-anak syarikat ini. Bagaimanapun, ini bukan seperti masuk poket kanan keluar poket kiri. Kita akan pastikan perniagaan betul-betul bermanfaat kepada anak syarikat dan pemegang saham kami.
Kenapa selepas 10 bulan, baru projek pertama Sinergi Perdana diumumkan?
Kami mengambil sikap low profile pada awal penubuhan Sinergi Perdana kerana setiap perancangan perlu dilakukan dengan teliti dan mendalam. Ketiga-tiga agensi ini sudah mempunyai tapak perniagaan yang kukuh, jadi kami perlu mencari cabang perniagaan tidak bertindih dengan aktiviti yang dijalankan oleh pemegang saham. Namun begitu, kami agak terkejut juga, di sebalik langkah itu diambil, terdapat tiga atau empat syarikat menghantar kertas cadangan untuk bekerjasama dengan kami. Apabila ditanya, mereka kata ada terbaca tentang konsortium ini dan mereka melihat kerajaan serius dalam memastikan Sinergi Perdana boleh pergi jauh dengan disokong oleh kekuatan ketiga-tiga agensi ini.
Boleh saudara nyatakan siapakah mereka yang menunjukkan minat itu?
Mereka bukan datang dari dalam negara tetapi juga Eropah, Amerika dan China. Salah sebuah syarikat merupakan syarikat yang tersenarai dalam Forbes 500. Kami terkejut juga kerana Sinergi Perdana masih baharu dan belum mempunyai rekod terdahulu tetapi pelabur-pelabur mendekati kami kerana melihat kepada rekod-rekod lampau ketiga-tiga entiti ini. Ini menunjukkan Sinergi Perdana bukan sahaja boleh meluaskan kerjasama dengan Felda, Felcra dan Risda sahaja malah dengan agensi-agensi lain juga.
Tadi, saudara mengatakan Sinergi Perdana boleh pergi lebih jauh, bolehkah diperjelaskan lagi?
Jika model perniagaan yang pertama ini berjaya, Insya Allah. Kami hendak tengok sama ada kami boleh buat ataupun tidak. Jika berjaya, tiada masalah untuk dikembangkan ke peringkat lebih tinggi dan menceburi perniagaan lain, kami masih di dalam proses mengenal pasti dan di sinilah kami boleh melihat apa kelebihan yang boleh diluaskan.
Boleh saudara perjelaskan projek perniagaan baja yang diceburi Sinergi Perdana?
Umum mengetahui bahawa ketiga-tiga agensi ini terlibat dalam bidang pertanian dan baja mewakili 30 hingga 40 peratus daripada kos. Kosnya adalah besar. Jadi Sinergi Perdana berbincang dengan Felda, Felcra dan Risda dan mendapati mereka tidak pula terlibat dalam pengeluaran baja premium yang dihasilkan menggunakan teknologi tinggi.
Kami pula berkeyakinan produk sebegini mampu mengurangkan kos dan mempunyai permintaan, sekali gus memberikan pulangan yang tinggi sekiranya diceburi. Ini bermakna objektif Sinergi Perdana boleh dicapai.
Selepas kajian mendalam kami memeterai perjanjian persefahaman dengan Diversatech (M) Sdn. Bhd., untuk menguasai kepentingannya kerana perniagaan baja mereka diiktiraf di dalam negara dan rantau Asia. Pembelian ini bukan untuk pengembangan di Malaysia tetapi keluar negara.
Saya selalu ingatkan diri supaya tidak hanya jadi jaguh kampung. Ia adalah sebahagian usaha untuk mencapai kegiatan skala besar dalam input pertanian lain tetapi mampu mengurangkan kos untuk ketiga-tiga agensi itu.
Selepas perniagaan baja, apakah perniagaan baharu yang bakal diterokai?
Selain baja, kami juga sedang melihat kepada industri getah dengan tumpuan akan diberikan kepada produk hiliran. Kami mendapati getah mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan negara kerana permintaan terhadap getah asli masih tinggi. Lagipun, tidak banyak negara yang mengeluarkannya. Ketiga-tiga agensi ini pula sangat aktif dalam industri huluan, jadi kami akan mendapatkan bekalan daripada mereka dan juga tempat lain.
Produk hiliran memang menjanjikan margin yang lebih tinggi. Kami tidak mahu terlibat dengan banyak benda tetapi lebih fokus dan kami mahu ke peringkat serantau.
Bagaimana projek baharu ini akan dibiayai?
Kami mempunyai dua pendekatan sama ada menceburinya sendiri, mengambil alih ataupun bekerjasama dengan syarikat yang ada. kalau membina kilang sendiri, kami memerlukan masa antara satu hingga dua tahun manakala jika kita mengambil alih atau bekerjasama dengan syarikat sedia ada, ia cuma ambil masa kira kira tiga hingga enam bulan sahaja. Ketika ini, kami berada di peringkat awal perbincangan dan menjangka dapat dimuktamadkan akhir tahun ini.
Beberapa firma ekuiti swasta turut menawarkan pembiayaannya. Kami bukan hanya mahu mengambil alih syarikat tempatan malah syarikat asing. Kami juga mahu memasuki pasaran China dan India kerana teknologi mereka dan kami pula mempunyai kekuatan daripada bekalan sumber dan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Mungkinkah satu masa nanti, ketiga-tiga agensi ini bakal bergabung dari segi ekuiti?
Jika dengan kerjasama strategik ini dan tanpa bergabung kami boleh mencapai objektif, apa perlunya penggabungan? Penggabungan tidak semestinya berakhir dengan kejayaan. Kita tengok banyak syarikat yang bergabung tetapi gagal mencapai objektif kerana tidak dapat menyelesaikan isu-isu dalaman seperti pertindihan fungsi serta pembuangan pekerja.
Kalau macam itu, semua pihak tidak gembira. Saya selalu tekankan, bergabung ataupun tidak itu bukan perkara utama. Apa yang penting adalah mencapai objektif penubuhan Sinergi Perdana.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0514&sec=Korporat&pg=ko_03.htm#ixzz4x2DbHorX
© Utusan Melayu (M) Bhd