FGV in collaboration to transform operations digitally
July 7, 2017

Sinergi Perdana guna sistem Felda Prodata perkukuh operasi

Felda Prodata Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menjalin kerjasama dengan Sinergi Perdana Sdn Bhd untuk meningkatkan tahap kecekapan di dalam industri perladangan.

Di bawah kerjasama lima tahun itu, Sinergi Perdana akan memulakan perisian awan persendirian penuh, “ProTruz Cloud”, yang dijanakan oleh platform teras digital SAP iaitu SAP S/4HANA, disediakan oleh Felda Prodata.

Pengenalan sistem terbabit adalah cara terpantas dan mudah kepada Sinergi Perdana untuk mengakses aplikasi misi kritikal seperti kewangan, logistik dan pengurusan sumber manusia dengan sistem awan sebagai pengurus perkhidmatan.

Menerusi kerjasama berkenaan, Sinergi Perdana dijangka meningkatkan kepantasannya dalam mengesan perubahan keperluan perniagaan secara strategik.

Selain itu, sistem berkenaan juga akan mengoptimumkan aliran tunai disebabkan perubahan daripada perbelanjaan modal (CAPEX) kepada perbelanjaan operasi (OPEX).

Sinergi Perdana, ialah sebuah konsortium yang dibentuk oleh tiga agensi perladangan iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Felcra Berhad dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Ia idea asal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berperanan untuk membolehkan ketiga-tiga agensi terbabit mengkoordinasikan perancangan dan strategi dalam menerokai pelbagai kerjasama perniagaan terutamanya perniagaan baja dan agronomi.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sinergi Perdana, Bashir Muhammad, berkata manfaat daripada inisiatif berkenaan adalah keupayaan untuk menggunakan sistem penyelesaian penyelesaian sumber enterpris (ERP) iaitu SAP S/4HANA bagi mengoptimumkan infrastruktur dan perkhidmatan profesional.

Katanya, ia dilaksanakan tanpa perlu membimbangi pelaburan aset yang besar, yang mana ia membantu mencapai pengurangan jumlah kos ditanggung.

“Kami boleh memberi lebih fokus kepada operasi dengan lebih tenang menerusi model sokongan berintegrasi yang disediakan oleh Felda Prodata. Kami percaya Felda Prodata mempunyai pengetahuan yang luas terutama dalam industri perladangan untuk menyediakan sokongan penuh dari infrastruktur hingga aplikasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Felda Prodata, Azly Sham Kamaruddin, berkata sistem pembangunan awan persendirian SAP S/4HANA untuk Sinergi Perdana memberi lembaran baharu kepada syarikat itu.

“Ini akan memberi kesan langsung kepada pembangunan strategi dan bakat kami. Infrastruktur syarikat, ProTruz Cloud bersedia dan kami juga komited untuk menyediakan sokongan lapangan dan luar lapangan, pelaksanaan sistem serta sokongan SAP S/4HANA selama lima tahun,” katanya.

Pengarah Urusan SAP Malaysia, Terrence Yong, berkata ekonomi digital memberi kesan ketara kepada perniagaan ketika ini dan organisasi di Malaysia sudah bersedia untuk mencapai arus pendigitalan ini.

Justeru, katanya misi SAP adalah untuk meningkatkan keupayaan pelanggan supaya berjaya dalam ekonomi digital baharu dengan membantu mereka meramalkan semula perniagaan menggunakan rangka kerja perniagaan digital SAP.

Pelaksanaan Rakan Pengurusan Awan (PMC) itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan dijangka boleh membantu agensi lain atau perusahaan kecil dan sederhana di pasaran Malaysia dan serantau.

Ia memberi pilihan terbaik kepada pelanggan yang mahu bergerak dari model perbelanjaan modal kepada perbelanjaan operasi dengan infrastruktur berprestasi tinggi tanpa sebarang masalah.

Article taken from: https://www.bharian.com.my/node/299834