Kilang baja sebatian SPSB beri penjimatan sehingga 15 peratus
September 8, 2016
Tiga Agensi Perladangan Negara Bina Kilang Baja
September 9, 2016

Sasar 120,000 tan metrik baja

KLANG – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mensasarkan sebanyak 120,000 tan metrik baja akan dihasilkan Sinergi Perdana Sdn Bhd (SPSB) dalam tempoh setahun.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SPSB yang dikawal selia oleh kementeriannya telah ditubuhkan pada 3 Jun 2010 itu merupakan syarikat kerjasama antara tiga agensi perladangan negara iaitu Felda, Risda dan Felcra Berhad.

“Kilang yang dalam proses pembinaan 35 peratus itu dijangka siap pada Februari tahun depan.

“Kita turut menjangkakan pengeluaran pertama baja akan bermula pada April 2017 jika tiada sebarang halangan,” katanya kepada pemberita pada Sidang Media ketika lawatan kerjanya ke tapak kilang baja SPSB, di Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, di sini semalam.

Menurutnya, melalui pengeluaran baja di kilang itu, kementerian boleh mengawal harga dan kualiti baja selain boleh memastikan bekalannya mampu menampung sebahagian keperluan baja pemegang saham syarikat serta agensi-agensi di bawah KKLW.

“Melaluinya kita memperoleh penjimatan lingkungan 10 hingga 15 peratus berbanding kita beli baja melalui pihak luar.

“Melihat kepada pasaran baja, SPSB tidak perlu bimbang kerana pasaran telah tersedia ada melalui tiga agensi yang menjalinkan kerjasama dengan mereka iaitu Risda, Felcra Berhad dan Felda,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan, 120,000 tan metrik setahun belum mencukupi untuk keperluan rakan kongsi dalam SPSB.

“Setakat ini, kita dapati dari segi keperluan dalaman di bawah tiga agensi itu ia memerlukan sebanyak 402,000 tan metrik setahun.

“Saya yakin kapasiti kilang ini boleh ditingkatkan sehingga 150,000 tan metrik, jadi ia boleh ditambah pada masa akan datang,” katanya.

Penubuhan SPSB adalah cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkonsepkan perkongsian bijak atau ‘smart partnership’ dari segi sumber, kepakaran, teknologi dan pengalaman supaya nilai ketiga-tiga agensi itu dapat dioptimumkan.

Melaluinya, ia bakal memberi impak besar kepada ekonomi negara serta manfaat kepada kumpulan sasar.

Projek pembinaan kilang baja itu menelan kos keseluruhan berjumlah RM45 juta.

Artikel penuh : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/sasar-120-000-tan-metrik-baja-1.561346